TEMERLOH, 18 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Amani Vanila Temerloh (AVT), hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua disambut Pengasas AVT, Encik Mohamad Feisal bin Mohamed Norawi dan isteri, Puan Musazlila Binti Mustapar.
Paduka Baginda berdua berkenan melawat sekitar AVT yang merupakan kafe pertama di Malaysia berasaskan konsep jualan aiskrim serta produk vanila asli di dalam kebun vanila.
AVT pada mulanya merupakan sebuah kebun vanila kecil, tetapi kini telah muncul sebagai sebuah pusat pengumpulan hasil vanila Malaysia selain menjadi pusat rujukan tanaman vanila dan pengeluar produk berasaskan vanila asli seperti serbuk vanila, vanila pod, sirap vanila, ekstrak vanila, pes vanila, pewangi serta aromaterapi.
Dalam kunjungan ini, Paduka Baginda berdua turut berkenan merasai sendiri produk makanan dan minuman berasaskan tanaman vanila asli yang menjadi kegemaran ramai di kafe ini.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan agar usaha tanpa kenal erti jemu pasangan ini terus berkembang maju.
Sementara itu, Paduka Baginda turut berkenan singgah ke A River Cafe yang menampilkan keistimewaan tempat makan terapung di atas Sungai Temerloh.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut pemilik kafe, Prof. Dato’ Indera Abdul Razaq, bersama isterinya Datin Indera Anisa Saleh.
Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra dengan pengunjung yang turut berada di kafe berkenaan serta bergambar dengan rakyat jelata yang sudah pastinya teruja dapat bersua dengan Paduka Baginda berdua.-KESULTANAN PAHANG