KEPUTERAAN
Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah telah diputerakan tepat jam 12.00 tengah hari pada hari Jumaat, 24 Oktober 1930 di Istana Mangga Tunggal (bersebelahan Istana Kuning, Pekan Lama) Bandar Diraja Pekan.
Al-Marhum merupakan anakanda ketiga Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah dengan Al-Marhumah Tengku Ampuan Besar Pahang Raja Hajjah Fatimah binti Al-Marhum Sultan Iskandar Shah.
PENDIDIKAN
Al-Marhum diasuh dan dididik dalam pandangan serta perhatian Paduka Ninda Al-Marhum iaitu DYMM Sultan Iskandar Shah Perak yang bersemayam di Kuala Kangsar, Perak.
Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu di Kuala Kangsar, Perak. Setelah tamat pelajaran darjah empat Al-Marhum telah melanjutkan pelajarannya ke Maktab Melayu Kuala kangsar dan ketika itu Al-Marhum baru berusia 10 tahun.
Namun begitu, pelajaran Al-Marhum telah terganggu semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Al-Marhum kemudiannya dibawa pulang ke Pahang.
Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Al-Marhum telah dihantar belajar asas-asas agama di Kuliah Al-lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan. Al-Marhum kemudiannya menyambung semula persekolahannya di Sekolah Clifford, Kuala Lipis. Di sana, Al-Marhum tinggal di asrama bersama-sama dengan para pelajar lain dan Al-Marhum sendiri tidak mahu dilayan seperti putera raja, sebaliknya Al-Marhum banyak bergaul dengan pelajar-pelajar dari kalangan rakyat biasa. Al-Marhum kemudiannya dihantar semula untuk menyambung pelajaran di sekolah lama Al-Marhum iaitu Maktab Melayu Kuala Kangsar.
Pada 25 Mei 1944, dalam satu upacara adat istiadat diraja yang meriah, Al-Marhum telah dikurniakan gelaran Tengku Mahkota Pahang di Istana Seri Terentang, Pekan. Sebagai waris takhta, gelaran tersebut telah dimasyhurkan bagi kali kedua pada 29 Mei 1949.
Pada tahun 1948, Al-Marhum telah ke England dengan menaiki kapal laut yang bernama Audre Lebon dan pelayaran tersebut telah mengambil masa selama 25 hari. Al-Marhum melanjutkan pelajaran di Sekolah Persendirian Sussex sebelum memasuki Worchester College, Oxford bagi mengikuti Kursus Pentadbiran Awam dalam tahun 1950.
Setelah tamat pengajian di Oxford, Al-Marhum kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti College Exeter, Devon dari tahun 1951-1953 dan mendapat latihan praktikal dalam bahagian Kerajaan Tempatan di Urban District Council Sidmouth, Devon.
PERKAHWINAN DENGAN AL-MARHUMAH KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANG
Al-Marhum telah melangsungkan perkahwinan dengan Al-Marhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan binti Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 24 April 1954.
Perkongsian hidup di antara Al-Marhum dengan Al-Marhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan telah dikurniakan dua orang putera dan lima orang puteri.
PERLANTIKAN DIRAJA
Al-Marhum pernah dilantik beberapa kali menjadi Pemangku Raja ketika Al-Marhum Seri Paduka Ayahanda baginda berangkat ke luar negeri dalam tahun-tahun 1956, 1959 dan 1965.
Pada 7 Mei 1974, Al-Marhum telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan segala jajahan takluknya menggantikan Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah yang mangkat pada 5 Mei 1974.
Setelah genap setahun di atas singgahsana takhta Kerajaan Pahang, satu Upacara Istiadat Diraja yang penuh kebesaran telah diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 8 Mei1975. Al-Marhum telah ditabalkan dan dimahkotakan dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang dan segala jajahan takluknya.
Upacara pertabalan tersebut telah dijalankan dengan penuh istiadat tradisi dan penuh berwarna-warni. Bandar Diraja Pekan dihiasi indah bagi memuliakan istiadat yang bersejarah dan penuh makna itu.
PERLANTIKAN YANG DIPERTUAN AGONG
Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang Dipertuan Agong ke-VII menggantikan Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang ke-VI, Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang telah mangkat pada 25 April 1979.
Sebelum bersemayam selaku Yang Dipertuan Agong, Al-Marhum telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Yang Dipertuan Agong pada 21 September 1975.
KEMANGKATAN AL-MARHUMAH KDYMM TENGKU AMPUAN PAHANG
Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah merasa amat dukacita di atas kemangkatan Al-Marhumah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajjah Afzan binti Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad pada 29 Jun 1988.
Takdir Ilahi ini berlaku hanya 6 hari selepas kemangkatan bonda Al-Marhum. Seluruh rakyat negeri Pahang berkabung selama empat puluh hari di atas kemangkatan ini.
PERKAHWINAN DENGAN DYMM SULTANAH HAJJAH KALSOM
Perkahwinan Al-Marhum dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom pada 14 Mac 1991 telah mengubah suasana kemasyghulan yang menyelubungi Al-Marhum atas kembalinya ke rahmat Allah, permaisuri dan bonda yang dicintai. Perkongsian hidup Al-Marhum dengan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom telah dikurniakan seorang putera yang dinamakan Tengku Fahd Mu’adzam yang kini bergelar Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong.
KEPIMPINAN
Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah mempunyai pengalaman yang luas dalam lapangan ketenteraan. Pada tahun 1953, sekembalinya ke tanah air Al-Marhum beserta 116 anggota lain telah memasuki angkatan tentera sebagai Pelatih Pegawai Kadet di Port Dickson untuk menjalani latihan selama enam bulan. Latihan yang cukup intensif ini akhirnya hanya diselesaikan oleh 13 orang pelatih sahaja dan Al-Marhum adalah seorang daripada yang berjaya itu.
Al-Marhum pernah ditugaskan berkhidmat dalam Batalion ke-4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Tapah, Perak dengan pangkat Kapten. Al-Marhum juga pernah ditauliahkan dengan pangkat Major semasa berkhidmat dengan Askar Wataniah sebagai Pegawai Sementara.
Semasa Indonesia melancarkan kempen konfrontasi terhadap Malaysia pada tahun 1963-1965, Al-Marhum telah berkhidmat sepenuh masa dengan Pasukan Infantri ke-12 Batalion Askar Wataniah di Kem Batu 5, Mentakab sebagai Pegawai Pemerintah.
· Al-Marhum merupakan seorang Raja Pemerintah yang unggul dari segi budi pekerti, berhemah dan berpengetahuan tinggi.
Al-Marhum mempunyai falsafah tersendiri iaitu ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’. Al-Marhum selalu bercemar duli mengunjungi rakyat di setiap pelusuk negeri untuk mengenal dan mengetahui segala masalah mereka.
Ketokohan dan kewibawaan Al-Marhum sentiasa dikagumi. Al-Marhum dikagumi atas keprihatinan serta sering menghulurkan bantuan terhadap rakyat yang menghadapi kesukaran.
NAMA ISTERI
D.Y.M.M. Almarhumah Tengku Hajah Afzan binti Almarhum Tengku Muhammad
DMN., DK., SSAP., SIMP.
Tarikh diputerikan: 04 Disember 1933, di Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman
(Merupakan Raja Permaisuri Agong yang ke – tujuh pada tahun 26 April 1979 – 25 April 1984)
Tarikh Mangkat: 29 Jun 1988, disebabkan Kanser di Istana Pahang, Kuala Lumpur
D.Y.M.M. Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom binti Abdullah
DK.
Tarikh diputerikan: 12 September 1951
PUTERA DAN PUTERI
LAPAN (Tiga Putera dan Lima Puteri)
YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa
Tengku Tan Sri Hajjah Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,
DK., SIMP., PSM., JP.
YAM Tengku Puteri Seri Teja
Hajjah Tengku Dato’ Muhaini binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,
DK., SIMP.
YAM Tengku Puteri Seri Kemala
Tengku Hajjah Dato’ Aishah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,
DK., SIMP.
KDYMM Sultan Pahang
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, DK., SSAP., SIMP., DK.(Terengganu)., DK.(Johor)., SPMJ., PAT, DKMB.(Brunei)
YAM Tengku Muda
Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
DK., SSAP.
YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja
Tengku Dato’ Hajah Nong Fatimah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
DK., SIMP.
YAM Tengku Puteri Seri Bongsu
Tengku Dato’ Hajah Shahariah binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
DK., SIMP.
YAM Tengku Arif Temenggong
Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,
DK.