KUANTAN, 2 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan wajar dilihat dengan emosi dan jiwa yang tenang, bukannya dengan kepala yang dingin atau sentimen berlebihan.
Paduka Baginda menegaskan bahawa kuasa pengampunan bukanlah hadiah politik, jauh sekali suatu bentuk simpati peribadi tetapi sebaliknya merupakan mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.
Menurut Paduka Baginda, sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.
โPengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,โ titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.
Turut berangkat sama, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Paduka Baginda turut menekankan bahawa keputusan berkenaan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil-wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.
Paduka Baginda bertitah, dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukan alat sentimen awam dan bukan juga tunduk kepada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.
โKuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam,โ titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah. -KESULTANAN PAHANG







