KUANTAN, 3 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa pelaksanaan Istiadat Menjunjung Duli mampu menghidupkan semula warisan tamadun istiadat Melayu yang menjadi asas kepada sistem Raja Melayu sejak ratusan tahun lamanya.
Paduka Baginda bertitah, dengan keberkatan Allah SWT, Negeri Pahang memiliki satu sistem pemerintahan beraja yang telah lama bertapak di bumi Pahang, bukan sekadar 10 atau 100 tahun, malah telah menjangkau 556 tahun pada tahun ini.
“Kesultanan Pahang bermula pada tahun 1470 bersamaan 891 Masihi dengan Sultan Muhammad Shah sebagai Sultan Pahang yang pertama, saya merupakan Sultan Pahang ke-34 sejak penubuhan institusi tersebut,” titah Paduka Baginda.
Menjawab persoalan mengenai tujuan Istiadat Menjunjung Duli, Paduka Baginda bertitah bahawa suatu masa dahulu istiadat berkenaan merupakan satu upacara tradisi di mana orang-orang besar dari seluruh pelusuk negeri, khususnya dari daerah-daerah jauh seperti Kuala Lipis dan Jerantut, datang menyembah sultan sebagai tanda taat setia dan penghormatan tertinggi kepada raja yang memerintah.
“Istiadat tersebut turut melibatkan persembahan buah tangan dan adat persembahan sebagaimana yang dapat disaksikan pada hari ini dan ia mencerminkan keunikan dan kehalusan adat istiadat Melayu,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana istiadat berkenaan dapat dilaksanakan dengan sempurna, serta menzahirkan penghargaan dan rasa terharu terhadap komitmen semua pihak yang terlibat, khususnya Kerabat-Kerabat Bergelar serta Orang-Orang Besar Negeri.
Paduka Baginda seterusnya menegaskan bahawa istiadat berkenaan perlu dihargai dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan, berlandaskan hukum syariah, hukum kanun, dan paling penting berpaksikan al-Quran dan sunnah sebagai asas pemerintahan. -KESULTANAN PAHANG








