KUANTAN, 3 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang tidak bersifat kekal atau seumur hidup, sebaliknya tertakluk kepada tempoh masa, penilaian prestasi dan budi bicara Raja Pemerintah.
Paduka Baginda menegaskan bahawa kuasa melantik Orang-Orang Besar adalah kuasa mutlak Raja sebagaimana termaktub dalam peruntukan yang telah dilafazkan, dan setiap lantikan adalah tertakluk kepada peraturan, tatasusila jawatan serta amanah yang besar.
“Jawatan yang disandang bukan sekadar satu gelaran, sebaliknya terikat dengan tanggungjawab untuk memelihara negeri, menjaga warisan, adat istiadat, kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negeri Pahang.
Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa setiap individu yang dilantik, sama ada dalam jawatan politik atau istana, hendaklah bekerjasama dengan Raja Pemerintah, mendokong titah perintah serta menzahirkan kesetiaan kepada Raja dan bakal pengganti.
“Pelantikan Orang Besar tidak dibuat semata-mata berdasarkan keturunan, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor termasuk salasilah keluarga, perwatakan, kelayakan, kebolehan dan elemen positif yang boleh disumbangkan kepada negeri.
“Sebarang perlakuan tidak sopan atau mencemarkan imej jawatan tidak seharusnya berlaku, dan setiap lantikan hendaklah berteraskan amanah, kejujuran serta kebijaksanaan,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa corak pelantikan pada zaman pemerintahan Paduka Baginda kini berbeza berbanding amalan terdahulu, selaras dengan konsep pelantikan bertempoh sebagaimana amalan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Paduka Baginda, tempoh lantikan ditetapkan iaitu Orang Besar Berempat selama lima tahun, Orang Besar Berlapan empat tahun, manakala Orang Besar Raja, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Istana selama tiga tahun, dan tempoh tersebut boleh disambung atau ditamatkan berdasarkan penilaian prestasi, kesihatan dan sumbangan sebenar.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya pemikiran lama diubah, termasuk memberi ruang kepada generasi muda untuk menyumbang kepada negeri, dan pengunduran secara terhormat wajar dilakukan apabila tiba masanya.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menegaskan peranan utama Orang-Orang Besar Negeri adalah untuk sentiasa menjunjung kedaulatan Raja Pemerintah, menasihati Raja dalam hal adat dan kepentingan negeri, menjadi penghubung antara Raja dan rakyat, memelihara keharmonian negeri serta menampilkan kepimpinan berakhlak, berintegriti dan berwibawa. -KESULTANAN PAHANG








