KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerikan pameran CIMB Minggu Seri-Ibu Kraf 2026 yang berlangsung di Serai Hall, Kuala Lumpur Golf & Country Club Mall (KLGCC) dengan mempamerkan hasil idea dan rekaan kreatif tersendiri.
Penyertaan YAM Tengku Puteri Jihan dalam pameran berprestij itu mencerminkan minat mendalam YAM Tengku Puteri Jihan terhadap seni kraf tempatan, khususnya dalam memperkasa tekstil tradisional seperti tenun dan ikat ke dalam konteks reka bentuk moden.
Menurut YAM Tengku Puteri Jihan projek yang dipamerkan merupakan inisiatif peribadi yang dibangunkan sejak beberapa bulan lalu.
“Projek ini memang projek saya sendiri. Kami memperkenalkan tenun ke dalam reka bentuk interior supaya ia boleh digabungkan dengan fesyen. Ia adalah satu pendekatan yang menggabungkan dua dunia iaitu fesyen dan reka bentuk dalaman,” katanya ketika ditemubual pada pameran tersebut.
Kesemua reka bentuk yang dipamerkan adalah hasil sentuhan YAM Tengku Puteri Jihan sendiri, dengan inspirasi utama diambil daripada elemen ikat, tenun dan corak tradisional lain yang diterjemahkan dalam gaya yang lebih matang dan sofistikated.
Proses penghasilan koleksi ini menurut YAM Tengku Puteri Jihan, telah mengambil masa beberapa bulan dan memerlukan komitmen yang tinggi.
Mengulas mengenai tujuan utama projek tersebut, YAM Tengku Puteri Jihan menjelaskan bahawa fokusnya adalah untuk menjadikan rekaan berasaskan tekstil tradisional ini sebagai pakaian yang boleh dipakai, tanpa menghilangkan nilai seni dan warisan di sebaliknya.
“Tujuan utama adalah untuk menjadikannya pakaian. Untuk Cheminahsayang, ini akan menjadi contoh terbaik kerana ia sangat mirip dengan reka bentuk yang saya hasilkan. Namun, penghasilan ini dibuat oleh pasukan Cheminahsayang,” katanya.
Penyertaan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan dalam CIMB Minggu Seri-Ibu Kraf 2026 bukan sahaja menarik perhatian pengunjung, malah turut memberi inspirasi kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk terus mengangkat seni kraf tradisional ke peringkat yang lebih tinggi dan relevan dengan citarasa semasa. -KESULTANAN PAHANG







