GOMBAK, 10 Februari 2026– Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Mainunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Pelancaran Pameran Kajian Warisan Seni Bina ke-26, ‘Layers of Time on the Ancient Routes: The Masjid Architecture Through Land and Sea’ (LARAS) anjuran Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan kulliyyah tersebut.
Keberangkatan Paduka Baginda selaku Ketua Perlembagaan UAIM pada pukul 3 petang disambut Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Duta Besar Rusia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Naiyl M. Latypov serta Pesuruhjaya Tinggi Republik Maldives, Tuan Yang Terutama Dr. Mariyam Shabeena Ahmed.
Sementara itu, Paduka Baginda di dalam titah menyifatkan pameran ini membawa makna yang amat istimewa bukan sahaja kepada warga KAED, malah kepada keseluruhan komuniti akademik UIAM kerana ia mencerminkan perjalanan tiga dekad kecemerlangan dalam bidang seni bina, perancangan, reka bentuk serta persekitaran binaan.
Menurut Paduka Baginda, sepanjang tempoh tersebut, KAED telah berkembang sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang melahirkan graduan berkualiti yang kini berkhidmat sebagai profesional, ahli akademik dan pemimpin di dalam serta luar negara.
“Seiring ulang tahun ke-30 KAED, pameran LARAS yang dianjurkan ini merupakan satu inisiatif akademik berwibawa yang mencerminkan komitmen berterusan kulliyyah terhadap pemeliharaan warisan seni bina, keilmuan dan reka bentuk yang berwawasan selain merapatkan legasi masa lalu dengan tanggungjawab masa kini,” titah Paduka Baginda.
Pameran berkenaan menampilkan kajian warisan seni bina dua masjid agung iaitu Zakabannaya Masjid di Kazan, Rusia, serta Old Friday Masjid di Malé, Maldives, yang memperlihatkan kekayaan khazanah seni bina Islam merangkumi aspek sejarah, budaya, ketukangan, penggunaan bahan serta makna spiritual yang mendalam.
Paduka Baginda bertitah, masjid-masjid tersebut bukan sekadar berfungsi sebagai tempat ibadah, sebaliknya menjadi naratif hidup yang mencerminkan identiti, keimanan dan nilai bersama komuniti Muslim merentasi benua, sekali gus mengajak pengunjung merenungi hubungan antara cahaya, ruang, struktur dan simbolisme dalam seni bina Islam.
Dalam pada itu, Paduka Baginda secara peribadi berkongsi mengenai minat mendalam terhadap seni bina sejak usia muda, termasuk keterlibatan Paduka Baginda secara langsung dalam projek pengubahsuaian Istana Abu Bakar.
“Kajian warisan seni bina memainkan peranan yang amat penting dalam memelihara masa lalu kita dan membentuk masa depan dengan penuh makna.
“Dengan memahami kisah-kisah yang tersemat dalam struktur-struktur ini, kita memperoleh penghargaan yang lebih mendalam terhadap seni, ilmu dan pengabdian mereka yang telah mendahului kita dalam ketaatan kepada Allah SWT,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menegaskan, pemahaman terhadap kisah dan nilai yang tersemat dalam struktur warisan mampu menjadi sumber inspirasi kepada arkitek dan pereka masa kini untuk menghasilkan ruang yang bukan sahaja indah dan berfungsi, malah sarat dengan nilai keimanan dan pengabdian kepada Allah SWT. -KESULTANAN PAHANG







