KUANTAN, 23 Februari 2026 – Istana Pahang kembali mengesan penularan video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Beberapa klip video palsu giat disebarkan melalui akaun Facebook ‘bantuan keuangan kerajaan’ kononnya berkenaan tawaran bantuan kepada rakyat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan.
Istana Pahang ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih. Ia merupakan penyalahgunaan imej KDPB Sultan Pahang bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang ramai.
Istana Pahang menegaskan bahawa Paduka Baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan memiliki kira-kira 758,000 orang pengikut ketika ini.
Manakala di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my. -KESULTANAN PAHANG







