KUANTAN, 29 Mac 2026 – Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang media sosial peribadi milik Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab
dengan menggunakan nama dan gambar Paduka Baginda untuk memperdaya orang ramai.
Begitu juga dengan akaun-akaun palsu terutamanya Facebook dan Tiktok menggunakan nama dan gambar Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Istana Pahang menegaskan bahawa semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.
Semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan memiliki kira-kira 772, 000 orang pengikut ketika ini.
Manakala di platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my. -KESULTANAN PAHANG







