Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menangguhkan sebentar perjalanan bagi membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar tol Temerloh pada Jumaat, 23 Januari 2026.
Paduka Baginda ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan apabila tiba di lokasi kejadian Paduka Baginda terlihat satu kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta.
Bimbang dengan kecederaan yang dialami penunggang motosikal menyebabkan Paduka Baginda menitahkan agar kereta polis pengiring membawa mangsa ke Hospital Temerloh dengan segera untuk mendapatkan rawatan.
Paduka Baginda berkenan turun dari kenderaan untuk melihat serta bertanya sendiri situasi mangsa dan sebuah lagi kenderaan terlibat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan. -KESULTANAN PAHANG







