PEKAN, 8 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Sahabat-Sahabat Ahmad Primary School Pekan bagi tahun 1966–1971 di sini hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menyifatkan penganjuran majlis seumpama ini sebagai satu amalan mulia di sisi agama kerana mampu mengeratkan ukhuwah sesama sahabat lama, di samping menjadi ruang untuk saling bermaaf-maafan dan mengimbau kenangan silam.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut menasihati sahabat-sahabat agar sentiasa menjaga kesihatan supaya dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan sejahtera.
Dalam kesempatan itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang hadir terutama pengerusi majlis, Dato’ Shahruzzaman Adam, atas usaha gigih beliau menghimpunkan semula rakan-rakan lama bagi menjayakan pertemuan penuh mesra kali ini.





