PULAU TIOMAN, 13 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Pulau Tioman di Dewan Berjaya Tioman Resort di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 3 petang diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Paduka Baginda berkenan mendengar persembahan taklimat daripada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) serta Program Pembangunan Ekonomi Asnaf oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP).
Paduka Baginda turut berkenan mendengar persembahan taklimat Inisiatif Pembangunan Negara TM: Pemerkasaan Infrastruktur Digital dan Komuniti di Kampung Mukut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) serta Inisiatif Perbankan Tanpa Tunai BSN di Pulau Tioman oleh Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pada sesi tersebut Paduka Baginda turut menzahirkan rasa penghargaan di atas usaha semua pihak yang terlibat dalam merancang pembangunan bagi kemudahan dan keselesaan rakyat di Pulau Tioman khususnya.
Titah Paduka Baginda, segala usaha yang dilakukan juga mampu menarik lebih ramai pelancong luar ke pulau ini yang begitu istimewa dari segi keindahannya.
Dalam pada itu Paduka Baginda menzahirkan harapan untuk melihat Pulau Tioman menjadi pulau contoh dari segi pemuliharaan alam semula jadi dan pengurangan pelepasan karbon (free carbon area) seperti yang dititahkan sebelum ini berjaya dicapai dengan kerjasama semua pihak.
Paduka Baginda turut mengalu-alukan lebih banyak lagi program-program yang membina dan memajukan modal insan diadakan di Pulau Tioman sekaligus mewujudkan peluang pembangunan yang baik dan berterusan termasuk dalam bidang pendidikan. -KESULTANAN PAHANG