CAMERON HIGHLANDS, 12 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Desa Kayangan, Brinchang, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda dengan memandu sendiri pada pukul 11 pagi disambut Tuan Yang Terutama Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyerahkan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada dua penerima melibatkan penduduk di kawasan ini sebagai usaha berterusan membantu golongan yang memerlukan memiliki kediaman sendiri yang selesa dan selamat.
Dalam titah, Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur dan bertuah dapat hadir ke majlis berkenaan walaupun berskala kecil, namun mempunyai makna yang amat besar.
“Saya rasa cukup bertuah kerana dapat hadir di satu acara walaupun kecil tetapi besar ertinya bagi saya. Ini kerana kita menghadiahkan sebuah rumah untuk kegunaan penerima-penerima untuk selama-lamanya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menjelaskan bahawa inisiatif Ru’RASA bukan sahaja dilaksanakan di Cameron Highlands, malah projek yang telah masuk ke fasa tiga ini diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini, dengan 18 buah rumah daripadanya di Cameron Highlands.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berpesan kepada para penerima agar menjaga kediaman yang dikurniakan dengan sebaik-baiknya dan tidak sesekali menjual atau menyewakannya.
“Saya harap jagalah rumah ini dengan baik. Jangan nak jual, nak sewa. Saya tak benar itu berlaku,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyelesaikan isu pajakan tanah di Desa Kayangan yang sebelum ini berlarutan.
“Alhamdulillah saya berterima kasih kepada pihak PKCH dan semua pihak yang terlibat kerana masalah ini dapat diselesaikan lebih awal. Syukur sekurang-kurangnya awak semua (penduduk) ada lot, lot halal dan sah. Bolehlah duduk tinggal dengan selamat dan penuh rahmah,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan dan infrastruktur di kawasan berkenaan yang telah dilabel sebagai kawasan Melayu, termasuk aspek sistem pembetungan dan perparitan agar tidak ketinggalan dari segi pembangunan asas.
“Saya nak kawasan ini bersih dari masa ke semasa. Jaga halaman, pokok-pokok dan yang lebih penting kebersihan dari segi pembetungan. Kalau boleh kaji semula saluran pembetungan di sini kerana kita tidak mahu kampung Melayu ini ketinggalan dari segi infrastruktur,” titah Paduka Baginda lagi.
Paduka Baginda turut bertitah akan berangkat melawat kawasan berkenaan dari semasa ke semasa bagi meninjau perkembangan serta berharap satu pelan tindakan berterusan dapat dirangka untuk mencantikkan lagi kawasan tersebut. -KESULTANAN PAHANG






