PULAU TIOMAN, 18 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Pelancaran Bot Wakaf Pahang di Kompleks Marina Pulau Tioman, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 3 petang diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda berkenan menandatangani plak pelancaran serta mengurniakan Sijil Pelantikan Mutawalli Khas Wakaf Pahang kepada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Encik Jumshoiry Novdany bin Mohd Sulaiman.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan ke Jeti Marina melawat bot wakaf berkenaan yang akan menjadi kemudahan bagi hal kecemasan di sini seperti membawa jenazah ke tanah besar apabila berlaku kematian sama ada melibatkan penduduk atau pelancong.
Bot yang diperoleh melalui dana wakaf yang disumbangkan oleh pelbagai pihak melalui Wakaf Pahang MUIP dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) ini juga akan digunakan untuk perkara lain yang bermanfaat dan ekonomik seperti kegunaan untuk mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan di sekitar perairan Pulau Tioman serta aktiviti-aktiviti kebajikan yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa pentadbir.
Kejayaan projek berteraskan kebajikan ini juga dapat mengangkat imej negeri Pahang sebagai negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan Bot Wakaf untuk kebajikan masyarakat dan keselamatan maritim. -KESULTANAN PAHANG








