PEKAN, 8 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Pulau Serai di sini dengan nama Masjid Tengku Hajah Aisyah Mandak.
Pada majlis sama turut diadakan Majlis Sambutan Nuzul al-Quran, bacaan Yasin dan tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda bertitah agar setiap masjid di negeri Pahang mengimarahkan rumah Allah dengan amalan membaca dan mentadabbur al-Quran secara berterusan
“Saya harap setiap bangunan yang dinamakan masjid di negeri Pahang ini mesti mengamalkan sebelum atau selepas setiap waktu sembahyang kita adakan bacaan al-Quran dan juga mentafsirkan al-Quran sebagai satu SOP (Prosedur Operasi Standard) wajib.
“Mudah-mudahan dengan amalan ini negeri Pahang akan sentiasa diberkati Allah SWT,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







