TEMERLOH, 24 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Taman Bukit Bendera di sini dengan nama Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah, Taman Bukit Bendera.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riβayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan bertitah mengingatkan agar masjid ini tidak sekadar berdiri megah secara fizikal, tetapi diimarahkan sebagai taman rohani yang menenangkan hati, menerangi akal dan menjadi payung rahmat kepada masyarakat.
βPeliharalah perpaduan seperti kita memelihara api dalam pelita. Kecil jika diabaikan namun mampu padam jika tidak dijaga. Tetapi jika disuburkan dengan kasih sayang dan kebijaksanaan, ia akan terus menyala menerangi kehidupan bersama,β titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah,masjid tersebut dinamakan sempena anakanda YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang disifatkan sebagai seorang insan berkeperibadian baik, penyayang dan wajar dicontohi.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan di atas peranan YAM Tengku Amir sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam membantu urus tadbir bersama KDPM Tengku Mahkota Pahang serta barisan kepimpinan Majlis Agama Islam.
Dalam titah sama, Paduka Baginda merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin atas usaha mendapatkan peruntukan pembinaan masjid berkenaan. Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak atas kelulusan yang diberikan pada tahun 2018.
Paduka Baginda turut mendoakan agar Allah SWT melimpahkan keberkatan kepada kariah masjid, memelihara Negeri Pahang Darul Makmur daripada perpecahan serta menjadikan negeri ini terus makmur dengan perpaduan, subur dengan keadilan dan bercahaya dengan iman. – KESULTANAN PAHANG







