KUANTAN, 6 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat merasmikan penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiring ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
Majlis berkenaan turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan dari seluruh negeri Pahang.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang dan juga jemaah hakim.
Tilawah Al-Quran pada tahun ini menyaksikan Encik Zul-Hasyimi Mohamed Yunus muncul sebagai Johan Qari dengan memperoleh markah sebanyak 95.75 manakala kategori Qariah dimenangi Nurul Saadah Mohamad Zaini dengan markah 90.00.
Paduka Baginda di dalam titah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh peserta tilawah dan hafazan Al-Quran yang telah menunjukkan kesungguhan dan disiplin dalam menghayati kalam Allah.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, para hakim, urus setia serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran majlis berkenaan, sekali gus membuktikan syiar Islam terus subur dan diperkasakan di Negeri Pahang Darul Makmur.
Sementara itu Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi dan menyeru rakyat di negeri ini membuat persiapan rapi dalam menyambutnya dengan penuh keinsafan, kesungguhan dan ketundukan kepada Allah SWT.
Paduka Baginda bertitah, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya merupakan madrasah jiwa, medan tarbiah rohani serta musim untuk memperkukuh hubungan hamba dengan Pencipta.
“Puasa adalah jalan menuju takwa, dan takwa itulah akar kepada segala kebaikan.. Beberapa usaha wajar diperkasakan sepanjang Ramadan, antaranya memperbanyakkan bacaan, penghayatan dan tadabbur Al-Quran, menjaga adab serta akhlak termasuk mengawal lidah dan emosi, selain mengamalkan sikap sederhana serta menjauhi pembaziran,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menegaskan bahawa keindahan Ramadan turut terserlah melalui sikap saling menghormati, bertolak ansur serta membantu golongan yang memerlukan agar keberkatan bulan mulia itu dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat. -KESULTANAN PAHANG






