PEKAN 6 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-198 di Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain.
Paduka Baginda berkenan mendengar pembentangan taklimat dan perbincangan berkaitan hal ehwal MUIP termasuk perancangan semasa bagi memantapkan lagi peranan sebagai badan tertinggi yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam, zakat, wakaf dan adat resam Melayu di Pahang.
Ketika bertitah, Paduka Baginda selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang menekankan beberapa perkara penting antaranya agar MUIP terus meningkatkan kesejahteraan ummah melalui pengagihan bantuan kepada golongan yang berhak (asnaf), sentiasa memartabatkan pendidikan Islam kearah yang lebih mampan dan berimpak tinggi, pengurusan harta wakaf, membina kerohaniah ummah, kewangan dan budaya Islam.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan Upacara Mengangkat Sumpah YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Haji Abdul Walid bin Haji Abu Hassan dan YH. Dato’ Sri Ahmad Fuaad bin Mohd Kenali di atas pelantikan sebagai ahli majlis yang baharu.
Paduka Baginda turut berkenan merakamkan penghargaan kepada MUIP yang mencipta sejarah sebagai agensi pertama di negeri Pahang yang meraih pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam kategori cemerlang yang mewujudkan suasana kerja lebih kondusif, membudayakan persekitaran yang lebih kreatif dan berinovasi di kalangan kakitangan.
Seusai mesyuarat Paduka Baginda berkenan ke Majlis Mesra Aidilfitri MUIP dan turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf, duit raya kanak-kanak dan beramah mesra dengan warga MUIP – KESULTANAN PAHANG






