KUALA LUMPUR 3 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima mengadap kepimpinan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di Shahzan House di sini semalam.

Paduka Baginda meluangkan masa hampir satu jam bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan perkembangan industri media semasa dan bertukar pandangan di samping penerangan ringkas objektif penubuhan PERTAMA.

Dalam sesi tersebut, Paduka Baginda bertitah agar PERTAMA mempertahankan etika kewartawanan, tahap profesionalisme dalam industri serta mengikut arus perubahan landskap media pada masa kini.

“Ini semua termasuk juga penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang memainkan peranan penting dalam industri media hari ini bagi membantu dalam automasi, penjanaan kandungan, analisis data dan meningkatkan pengalaman pengguna namun perlu mematuhi etika kebebasan media yang dibenarkan,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda yakin dengan keikhlasan dan dedikasi para media terutama wanita di bawah naungan PERTAMA mampu memberi sumbangan besar kepada negara.

Paduka Baginda menyarankan agar isu-isu semasa yang berlaku di Pahang terutama berkaitan ekonomi dan pelancongan mendapat perhatian serta liputan media demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Rombongan PERTAMA diketuai Presidennya, Sariha Mohd Ali yang juga Pengarang Berita Kanan Berita Harian (BH); Timbalan Presiden, Nasriah Darus; Setiausaha, Nor Hasliza Abdullah; BendahariM.Saraswathi dan ahli jawatankuasa persatuan. – KESULTANAN PAHANG