TEMERLOH, 25 Februari 2026 -Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke bazar Ramadan Bukit Desa Semantan, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Antara juadah berbuka yang dibeli Paduka Baginda ialah nasi kerabu daging, cucur udang, murtabak, popia, buah mata kucing dan mangga.
Pengunjung yang berada di bazar berkenaan turut teruja dapat bertemu secara berhadapan dengan Paduka Baginda berdua serta KDPM Tengku Mahkota Pahang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku juga berkenan bergambar dan beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung yang hadir, sekali gus mencerminkan keprihatinan dan kasih Paduka Baginda terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang. -KESULTANAN PAHANG







