CYBERJAYA, 7 Disember 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dari Universiti Multimedia (MMU), hari ini.
Anugerah Ijazah Kehormat yang merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada tokoh yang memberi sumbangan besar kepada negara ini dipersembahkan oleh Canselor MMU, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi kepada Paduka Baginda berdua pada Majlis Konvokesyen MMU ke-25 di Dewan Tunku Canselor, di sini.
Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepimpinan luar biasa Paduka Baginda berdua dalam pentadbiran dan tadbir urus yang telah memberi sumbangan besar kepada kestabilan dan kemakmuran negara walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan.
Persembahan anugerah ini bukan sahaja memperakui legasi pemerintahan Paduka Baginda berdua yang gemilang tetapi juga sebagai simbol penghargaan terhadap komitmen KDPB Sultan Pahang dan KDPB Tengku Ampuan Pahang kepada kecemerlangan pengurusan.
Paduka Baginda berdua juga amat terkenal dengan personaliti dan ketokohan tersendiri, begitu dekat di hati dan disayangi rakyat selain sentiasa peka dengan permasalahan dan keadaan semasa.
Sementara itu, KDPB Sultan Pahang dalam titah menzahirkan rasa penghargaan di atas penganugerahan yang diterima dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama sepanjang tempoh Paduka Baginda mentadbir negara selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 3,657 orang graduan MMU yang menerima skrol masing-masing dan berharap agar kecemerlangan di pusat pengajian akan dibawa ke dalam kehidupan sekaligus memberi sumbangan kepada masyarakat. -KESULTANAN PAHANG