KUANTAN, 20 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Bersempena sambutan Syawal pada tahun ini, Paduka Baginda mengingatkan umat Islam agar tidak melupakan hakikat sebenar Aidilfitri sebagai hari kesyukuran setelah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan.
Paduka Baginda menyeru rakyat supaya menggunakan kesempatan ini untuk mempereratkan silaturahim, memperbaiki hubungan sesama insan serta saling bermaaf-maafan.
Paduka Baginda turut menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman agar sentiasa berhemah dan mengutamakan keselamatan ketika memandu agar kegembiraan menyambut Hari Raya tidak bertukar menjadi duka akibat kecuaian di jalan raya.
Paduka Baginda menzahirkan harapan agar sambutan Aidilfitri tahun ini akan membawa kebahagiaan, kedamaian serta keberkatan kepada seluruh rakyat di negeri Pahang Darul Makmur, di samping terus memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan masyarakat. -KESULTANAN PAHANG







