KUANTAN, 7 Mac 2026 — Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Nuzul Al-Quran kepada seluruh umat Islam di negeri Pahang khususnya dan di Malaysia amnya.
Paduka Baginda berdua menzahirkan doa dan harapan agar sambutan Hari Nuzul Al-Quran pada tahun ini menjadi ruang untuk umat Islam memperkukuh keimanan, memperbanyakkan amalan membaca, memahami serta menghayati isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Paduka Baginda bertitah, peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan detik penting dalam sejarah umat Islam kerana ia menandakan turunnya wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk dan rahmat kepada seluruh umat manusia.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berdua menyeru agar umat Islam terus menjadikan Al-Quran sebagai pedoman utama dalam membentuk peribadi yang berakhlak mulia, berilmu serta berintegriti dalam setiap aspek kehidupan.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar nilai-nilai murni yang terkandung dalam Al-Quran seperti keadilan, kasih sayang, kejujuran dan kesederhanaan dapat terus diamalkan dalam masyarakat bagi memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan negeri dan negara. -KESULTANAN PAHANG






