KUANTAN, 5 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini.
Allahyarham merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan baru sahaja berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov lalu.
Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ketentuan dan takdir Allah SWT.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba Allah yang dikasihi.
Allahyarham Datuk Seri Bung, 66, dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru pada pukul 1.46 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah dilakukan di Masjid Negeri Sabah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas di sini selepas solat Jumaat. -KESULTANAN PAHANG







