KUANTAN, 9 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian
Ybhg. Prof Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang meninggal dunia petang semalam.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Paduka Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan yang tersayang.
Profesor Diraja berusia 94 tahun ini banyak berjasa dan dikenali sebagai tokoh ilmuwan yang memperkenalkan konsep Islamisasi ilmu pengetahuan, yang memberi pengaruh besar dalam perkembangan pemikiran pendidikan Islam moden di peringkat antarabangsa.
Sepanjang kerjayanya dalam dunia akademik, Allahyarham menghasilkan puluhan karya ilmiah dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan tamadun Islam.
Antara karya beliau yang berpengaruh ialah Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam yang menjadi rujukan penting dalam kalangan sarjana di seluruh dunia.
Sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh wacana intelektual Melayu-Islam menjadikan beliau antara tokoh pemikir paling berpengaruh di rantau ini. -KESULTANAN PAHANG







