KUANTAN, 21 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Tahlil Memperingati Pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak ke-50 dan Allahyarhamah Tun Rahah ke-5 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini malam tadi.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis dimulai dengan bacaan yasin dan tahlil diikuti solat Maghrib berjemaah, seterusnya ke Jamuan Diraja bersama semua yang hadir.
Bacaan yasin dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Tuan Haji Mohd Rizzal Bin Mohd Ali Nafiah manakala bacaan doa dan tahlil dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan kepimpinan Negeri Pahang, kaum keluarga kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarhamah Tun Rahah, pelajar tahfiz dan rakyat jelata. – KESULTANAN PAHANG








