KUANTAN, 16 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Zeenath Kausar yang meninggal dunia hari ini.
Allahyaraham Dr. Zeenath Kausar merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1990 hingga 2006 di Jabatan Sains Politik sebelum meneruskan khidmat di Universiti Qatar di Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dari tahun 2007 hingga 2009.
Terkenal sebagai pakar dalam pemikiran Islam dan barat serta kritikan Islam terhadap feminisme, Allahyarham juga pernah menerima dua anugerah penyelidikan, iaitu Anugerah Penyelidikan Berkualiti dan Anugerah Penyelidik Cemerlang daripada UIIAM serta menerima Sijil sebagai Penulis Cemerlang pada tahun 2005.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. -KESULTANAN PAHANG






