KUANTAN, 24 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke program Wacana Belia Diraja 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Wacana bertemakan “Titah Diraja, Amanah Belia : Membina Masa Depan Pahang Berdaulat” itu menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan.
Program itu juga ialah inisiatif strategik untuk memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan fungsi, peranan dan kedudukan institusi Raja Berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara. – KESULTANAN PAHANG







