KUANTAN, 6 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan perkenan agar Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UniPSAS) dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Universiti Al-Quran, sekaligus menjadikannya universiti Al-Quran pertama di negara ini.
Paduka Baginda bertitah, usaha memartabatkan agama Islam di Negeri Pahang terus diperkukuhkan melalui pengukuhan institusi Al-Quran, dengan penubuhan universiti berteraskan pengajian Al-Quran sebagai teras utama.
Menurut Paduka Baginda, penjenamaan semula tersebut bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju yang jelas dalam menjadikan Al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.
“Penjenamaan ini ibarat mengangkat mercu tanda di puncak negeri, agar jelas kelihatan arah yang dituju dan tujuan yang dijunjung,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Universiti Al-Quran yang bakal disempurnakan pengisytiharannya tidak lama lagi ini bakal menjadi mata air ilmu yang tidak pernah kering, mengalirkan kefahaman Al-Quran ke segenap penjuru, serta melahirkan ilmuwan, pendakwah dan pemimpin yang menjadikan wahyu sebagai pedoman.
Penubuhan universiti berkenaan juga diyakini mampu mengangkat Pahang Darul Makmur sebagai negeri ilmu yang diberkati dan dirahmati. – KESULTANAN PAHANG






