KUANTAN, 18 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah meminta agar Kerajaan Negeri melalui YAB Menteri Besar Pahang dapat memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek tebatan banjir yang telah diluluskan.
Titah Paduka Baginda, ia demi menjamin keselamatan rakyat di negeri Pahang terutamanya ketika musim tengkujuh.
“Terdapat 15 projek berimpak tinggi dalam rangka Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri beta antaranya di Sungai Kenau, Pekan Sungai Lembing, Sungai Dong, Raub dan Sungai Jelai (Fasa 1) Daerah Lipis.
“Beta menaruh harapan yang tinggi agar semua projek ini dilaksanakan dengan segera, berkualiti dan mengikut jadual yang ditetapkan. Janganlah kita terlambat bertindak hanya setelah musibah menimpa. Cegah sebelum parah, itulah tanda kerajaan yang bijak dan berjiwa rakyat,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas keprihatinan dan penyaluran peruntukan Ecological Fiscal Transfer For Biodiversity Conservation (EFT) kepada negeri Pahang melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Ini merupakan langkah bijaksana dalam menghargai nilai alam yang tidak ternilai, satu anugerah Ilahi yang menjadi sumber kehidupan dan kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Beta berharap, agar setiap sen peruntukan ini dapat diagihkan secara cekap dan telus kepada jabatan dan agensi berkaitan, bagi melaksanakan program pengurusan ekologi yang menyeluruh, melindungi, memulihara dan mewartakan kawasan-kawasan strategik yang menyumbang kepada perkhidmatan ekosistem termasuklah kawasan daratan, air tawar, pesisir pantai dan perairan marin,” titah Paduka Baginda. –KESULTANAN PAHANG