PULAU TIOMAN, 17 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan aspek kebersihan tidak boleh dikompromi, termasuk melibatkan bangunan dan kawasan milik jabatan kerajaan di Pulau Tioman.
Ketika berkenan bercemar duli berangkat mendengar Taklimat Pembangunan Pulau Tioman, Paduka Baginda bertitah mana-mana jabatan kerajaan yang terletak di tepi jalan perlu memastikan bangunan dan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan bersih serta terpelihara.
“Saya tak boleh kompromi dari segi kebersihan. Mana-mana jabatan kerajaan yang ada di tepi jalan perlu menjaga bangunan dari segi kebersihan dan kecantikan. Kalau pagar tak cantik, catlah. Kalau kawasan kotor, bersihkan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mahu ketua-ketua jabatan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan penyelenggaraan bangunan dilaksanakan dengan baik agar tidak mencerminkan imej negatif kepada pengunjung dan pelancong.
Selain itu, Paduka Baginda menitahkan supaya rumah-rumah penduduk kampung yang uzur dan daif diberi perhatian sewajarnya.
“Kalau ada zink-zink buruk, tolonglah bantu tukar. Mana yang usang dan daif, bantu dari segi pembetulan semula. Jangan kita tengok dan tutup mata. Kita kena beri keselesaan kepada mereka yang memerlukan,” titah Paduka Baginda.
Dalam usaha menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan utama, Paduka Baginda turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar termasuk kawasan dasar laut.
“Selain daripada kita menjaga kebersihan di atas bumi Tioman ini, saya nak tanya bawah laut siapa jaga?
“Adakan satu pasukan khas, outsource dan buat rutin pembersihan. Jangan tunggu NGO datang baru kita nak bersih. Kaji semula dan saya nak laporan,” titah Paduka Baginda lagi.
Pada masa sama, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan terhadap perancangan pelaksanaan 11 projek berimpak tinggi dengan peruntukan kira-kira RM90 juta serta beberapa projek lain bernilai jutaan ringgit yang dirangka untuk Pulau Tioman.
Bagaimanapun, Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kelewatan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kampung Tekek yang dilaporkan tertangguh akibat masalah kontraktor.
“Baru sekarang nak merasa air bersih, itu pun ada masalah. This cannot happen. Tak boleh,” titah Paduka Baginda.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menegaskan agar pemilihan kontraktor bagi projek di Pulau Tioman diteliti semula dengan memberi keutamaan kepada pihak yang berpengalaman dan memahami keadaan setempat bagi mengelakkan kelewatan serta kerugian.
“Register this as a lesson. Bagi projek kepada yang biasa bekerja di sini, lebih baik orang tempatan. Jangan main beri begitu sahaja,” titah Baginda lagi.
Paduka Baginda turut menegaskan kerajaan negeri perlu bersuara dan memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan projek-projek yang dirancang tidak terus tertangguh, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Pulau Tioman. -KESULTANAN PAHANG








