PULAU TIOMAN, 17 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar sektor pertanian, kebersihan awam serta pengurusan infrastruktur di Pulau Tioman diperkasakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian pulau berkenaan.
Ketika berkenan bercemar duli berangkat mendengar Taklimat Pembangunan Pulau Tioman, Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita terhadap cadangan program pertanian termasuk pembangunan rumah hijau (greenhouse) dan 10 cadangan tanaman asas.
Paduka Baginda bertitah projek-projek pertanian perlu diberi keutamaan dan hasilnya dimanfaatkan untuk penduduk tempatan.
“Saya harap semua projek pertanian diberi sedikit keutamaan. Kalau boleh kita jualkan kepada orang-orang kampung kita. Jangan ambil untung besar, untung sikit tidak apa,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menitahkan agar Jabatan Pertanian dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dapat bekerjasama meneruskan pembangunan ladang serta mengutamakan hasil untuk kegunaan masyarakat setempat.
Paduka Baginda juga mencadangkan agar kajian dilaksanakan bagi menanam padi secara moden termasuk kaedah penanaman vertikal bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
“Galakkan orang kampung, bagi kursus untuk kegunaan sendiri. Tak payah tunggu hasil daripada luar,” titah Paduka Baginda sambil menyeru agar lebih banyak program agro diperluaskan di pulau berkenaan.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menegaskan program gotong-royong perlu dijadikan amalan berterusan dan bukan sekadar dilaksanakan apabila dititahkan.
“Jangan hangat-hangat tahi ayam. Skala kecil pun cukup. Awareness itu kita kena galakkan sebab itu kampung kita,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan tentang risiko penyakit seperti denggi dan tuberkulosis (tibi), khususnya dengan kehadiran pelancong luar, justeru kebersihan perlu sentiasa diutamakan.
Menyentuh isu bot terbiar, Paduka Baginda menitahkan agar bot-bot lama dan rosak diuruskan dengan lebih sistematik termasuk penyediaan tapak depo penyimpanan dan pelupusan, serta tidak membiarkan bot yang tidak lagi boleh digunakan terus mencacatkan pemandangan.
Paduka Baginda juga menyokong cadangan mewujudkan kemudahan baik pulih bot dan latihan kemahiran melalui kerjasama agensi berkaitan bagi membuka peluang industri maritim kepada penduduk tempatan.
Selain itu, Paduka Baginda menegaskan usaha mengehadkan jumlah kenderaan di Pulau Tioman perlu direalisasikan dalam masa terdekat bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas dan pencemaran.
“Saya tak mahu tempat ini jadi ada penyakit ‘traffic jam’. Saya nak bersih, jalan-jalan clear dan udara sentiasa bersih,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menegaskan segala usaha tersebut perlu digerakkan secara serius dan konsisten oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri, wakil rakyat dan ketua jabatan agar Pulau Tioman kekal sebagai permata negeri serta destinasi pelancongan yang bersih, terancang dan mampan. – KESULTANAN PAHANG







