LIPIS, 13 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan agar projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Binjai di sini dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia amat penting dalam meningkatkan kemudahan perhubungan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Paduka Baginda bertitah projek yang menelan belanja kira-kira RM63 juta itu amat penting bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat selain meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan kampung berkenaan.
“Saya difahamkan ada sedikit kelewatan pada peringkat awal pembinaan. Saya harap pihak kontraktor dapat mengejar semula jadual pelaksanaan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.
“Saya sendiri berharap dapat melihat jambatan ini siap dalam tempoh yang dirancang iaitu sekitar Februari 2028,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Binjai di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Duta Besar UAE ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Dato’ Ahmad Islanizam A.Halim.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan mengurniakan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 22 penerima melibatkan tiga daerah iaitu Lipis, Raub dan Bentong.
Sementara itu Paduka Baginda turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya banjir di kawasan tersebut (Kampung Binjai) memandangkan keadaan sungai yang berliku dan berpotensi menghalakan aliran air ke kawasan kampung.
Paduka Baginda menzahirkan cadangan agar agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran menjalankan kajian bagi menambah baik aliran sungai termasuk kemungkinan meluruskan alirannya atau menyediakan sistem perparitan tambahan bagi mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan.
“Saya tidak boleh jamin bahawa pembinaan jambatan ini akan mengelakkan banjir sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan pergerakan penduduk ketika musim biasa.
“Namun jika kajian dapat dibuat untuk memperbaiki aliran sungai, mungkin ia dapat membantu meredakan kesan banjir pada masa akan datang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







