KUALA LIPIS, 12 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini menzahirkan harapan agar para pelajar di negeri ini terus berusaha meningkatkan prestasi akademik serta memanfaatkan segala peluang dan kaedah pembelajaran yang disediakan bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menyantuni para pelajar sempena Program School Tour Skor A+ SPM Pahang 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendaharan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam bin Juhali; Pengarah Perkongsian Strategik PTTI Group Sdn. Bhd., Tuan Muhammad Asyraf bin Dato’ Sri Haji Khalid serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 100 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 daripada sekolah tersebut yang mengikuti sesi seminar akademik intensif bagi subjek Sains dan Matematik yang dikendalikan oleh pakar pendidikan daripada PTTI Group Sdn. Bhd.
Sekolah ini merupakan sekolah ke-98 yang menerima pelaksanaan program tersebut daripada keseluruhan 198 buah sekolah menengah di seluruh negeri Pahang.
Pelaksanaan program ini di Daerah Lipis merupakan sebahagian daripada siri jelajah pendidikan yang melibatkan 15 buah sekolah menengah, antaranya SMK Chung Hwa, SMK Clifford, SMK Panglima Garang Abdul Samad dan SMK Padang Tengku.
Program tersebut bertujuan membantu calon-calon SPM memperkukuh kefahaman konsep bagi subjek teras, di samping meningkatkan keyakinan diri serta keupayaan mengaplikasikan teknik dan strategi menjawab peperiksaan secara lebih berkesan.
Program School Tour Skor A+ SPM Pahang 2026 merupakan cetusan idea serta manifestasi keprihatinan Paduka Baginda sendiri dalam memastikan anak-anak negeri Pahang mendapat sokongan dan pendedahan terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan akademik serta memperkukuh kesiapsiagaan mereka menghadapi peperiksaan SPM.
Sehingga kini, program jelajah pendidikan tersebut telah memberi manfaat kepada seramai 8,598 orang pelajar di seluruh negeri Pahang dan dilaksanakan secara berperingkat dari Januari hingga Mei 2026, melibatkan 198 buah sekolah menengah.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa penubuhan Yayasan Al-Sultan Abdullah adalah bagi membantu pelajar yang mempunyai prestasi akademik sederhana dan memerlukan sokongan tambahan untuk meningkatkan pencapaian mereka.
Paduka Baginda bertitah sepanjang lebih tiga dekad penubuhannya, yayasan tersebut telah mengenal pasti pelajar dari pelbagai daerah di negeri ini, khususnya daripada keluarga berpendapatan sederhana, untuk mengikuti program bimbingan akademik dan pembangunan sahsiah.
Menurut Paduka Baginda, pelajar-pelajar berkenaan dihimpunkan di beberapa lokasi termasuk Kuantan dan Pekan bagi mengikuti sesi tuisyen, latihan pembelajaran serta program pembangunan karakter yang turut menekankan disiplin dan kaedah pembelajaran yang berkesan.
“Alhamdulillah, lebih 1000 orang pelajar telah mengikuti program ini dan kira-kira 99 peratus daripada mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan universiti,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada pihak YASA serta PTTI Group Sdn. Bhd. atas usaha menyediakan kursus dan program bimbingan akademik kepada pelajar di seluruh negeri bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Titah Paduka Baginda, kejayaan dalam peperiksaan bukan semata-mata bergantung kepada tahap kesukaran soalan, sebaliknya kepada persediaan pelajar dari segi cara berfikir, teknik menjawab serta pengurusan masa ketika menjawab soalan peperiksaan.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berharap para pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kaedah pembelajaran dan teknik yang dikongsikan oleh para tenaga pengajar sepanjang program tersebut.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian negeri Pahang yang berada di kedudukan ketiga dalam keputusan peperiksaan SPM dan berharap kedudukan itu dapat dipertingkatkan pada masa hadapan.
“Kalau boleh kita tingkatkan lagi kedudukan negeri Pahang dan saya berharap kamu semualah yang akan menentukan agar negeri ini dapat meningkat ke tahap yang lebih tinggi,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mendoakan agar semua pelajar yang mengikuti program tersebut mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal diduduki kelak. -KESULTANAN PAHANG








