KUANTAN, 20 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menzahirkan hasrat agar Pahang berdiri sebagai sebuah negeri contoh yang bebas daripada jerat dadah sekali gus melahirkan generasi bijaksana, kuat jasmani, luhur akhlak dan teguh iman.
Titah Paduka Baginda, perjuangan menentang dadah bukan sekadar sebuah kempen atau slogan, tetapi sebuah jihad besar yang wajib dipikul bersama oleh semua pihak.
“Dadah bukan lagi sekadar masalah individu, tetapi musibah yang memusnahkan keluarga, meruntuhkan masyarakat serta menghalang kemajuan negeri dan negara. Saya mengimpikan Pahang menjadi negeri contoh, negeri yang bebas daripada jerat dadah,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Program Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka hari ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah mengingatkan bahawa Felda merupakan lambang perjuangan bangsa, tanah yang membesarkan generasi peneroka dengan darah dan keringat.
Namun hari ini titah Paduka Baginda, rekod ‘My-AADK’ hingga Julai 2025 mencatatkan 4,204 orang penagih di Pahang, dengan 1,317 orang atau 31.32% daripadanya berasal dari Felda dan di Felda Jengka sahaja, seramai 264 orang penagih telah dikenalpasti.
“Felda asalnya adalah lambang kejayaan negara, tanah subur yang melahirkan generasi peneroka.
“Saya tidak mahu warisan ini terus dicemari gejala hitam, jangan biarkan felda digelar ‘port’ dadah, sebaliknya kembalikan maruahnya sebagai tanah berkat yang melahirkan generasi teguh, berilmu dan berakhlak,” tegas Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap rekod semasa yang menunjukkan Pahang berada pada kedudukan ketujuh tertinggi di Malaysia dengan 9,452 penagih dadah sehingga Jun 2025, termasuk 31.32 peratus daripadanya melibatkan generasi Felda.
“Lebih membimbangkan, anak-anak muda berusia antara 15 hingga 39 tahun mendominasi angka ini. Jika generasi muda rebah, runtuhlah tiang bangsa.
“Maka janganlah ada yang berpeluk tubuh. Ingatlah pepatah lama, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” titah Paduka Baginda.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menyeru agar semua pihak sama termasuk ibu bapa, masyarakat, agensi kerajaan hinggalah penguatkuasa untuk memperkukuh tanggungjawab sebagai benteng pertama melindungi generasi muda daripada gejala hitam yang boleh menghancurkan masa depan negeri dan negara. -KESULTANAN PAHANG