KUANTAN, 12 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang, khususnya kru KM SEBATIK, atas kejayaan menumpaskan kegiatan jenayah maritim yang amat serius di perairan Timur Laut Kuantan.
Operasi Khas yang telah dilaksanakan menyaksikan kejayaan penahanan dua buah kapal, iaitu Kapal Tangki Kamal Bangkok dan Kapal Kargo Sail Fish 09, berserta rampasan 76 guni dadah disyaki jenis syabu seberat 1.572 tan yang dianggarkan bernilai RM78.6 juta, serta 50,000 liter minyak diesel dan lain-lain barangan kes.
Paduka Baginda bertitah, kejayaan besar ini telah membuktikan tahap kesiapsiagaan, keberanian dan komitmen tinggi pasukan dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan atas tindakan tegas dan profesional dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah, pelanggaran undang-undang perkapalan serta kesalahan imigresen, selaras dengan peruntukan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan undang-undang berkaitan.
Sesungguhnya kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan operasi dan risikan APMM, malah memberi mesej jelas bahawa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman keselamatan, khususnya yang melibatkan dadah yang boleh merosakkan masyarakat dan generasi masa hadapan.
Kebawah Duli Paduka Baginda berharap agar APMM Negeri Pahang terus mempertingkatkan usaha penguatkuasaan dan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi demi memastikan perairan negeri ini kekal selamat, terkawal dan bebas daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan. -KESULTANAN PAHANG







