KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah Piala Seri-Ibu Kraf 2026 di KLGCC Mall di sini hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku pada pukul 3.15 petang disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, YBhg. Dato’ Seri Azmir Merican.
Majlis penyampaian hadiah Piala Seri-Ibu Kraf 2026 ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan hasil kraf tempatan serta mengangkat martabat seni warisan seperti tenun, songket dan seni tradisional ke tahap yang lebih relevan dalam konteks moden.
Inisiatif ini juga memberi sokongan kepada penggiat kraf dan komuniti artisan di samping memelihara warisan budaya negara.
Selain itu, penganjuran program ini turut memperkukuh kerjasama antara institusi, industri dan komuniti kreatif serta menyokong pembangunan ekonomi kreatif negara, di samping memupuk minat dan penghargaan masyarakat terhadap keunikan kraf tempatan. – KESULTANAN PAHANG







