KUALA LUMPUR, 25 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Islamic Fashion Festival (IFF) 2025 – Royal Charity Gala Dinner, semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda ke lokasi acara di Hotel Mandarin Oriental di sini turut diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat ialah DYMM Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah yang turut berkenan hadir sebagai tetamu diraja.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 8.30 malam disambut Pengasas Dan Pengerusi IFF, Yang Berhormat Mulia Tengku Sri Kelana D’raja Dato Sri Raja Rezza Shah.




Paduka Baginda kemudian berkenan menerima persembahan cenderamata sebelum berangkat masuk ke dewan untuk menyaksikan pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal tanah air seperti Arunsayfulldesiree, Shanell Harun, Tom Abang Saufi, dan Rajarezza.
Bertemakan “An evening in Marrakech”, acara pertunjukan fesyen ini turut membawa rekaan dari Jakarta, Indonesia melalui pereka Tandamata dan Sodagaran, selain beberapa rekaan eksklusif menggunakan kain Tenun yang diketengahkan khas untuk acara berprestij ini.
Rekaan istimewa pereka tersohor tempatan dan antarabangsa yang mempersembahkan koleksi busana berinspirasikan elemen Islamik kontemporari ini menampilkan keindahan seni fesyen yang menggabungkan elemen tradisi dan moden.
Pada penghujung acara, Paduka Baginda berkenan menyaksikan pertunjukan barang kemas mewah daripada RV Jewels yang mempersembahkan koleksi bertatahkan batu permata berkualiti tinggi.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menyaksikan keseluruhan acara menyerikan lagi penganjuran IFF 2025 serta memberikan sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan fesyen Islamik di peringkat antarabangsa. – KESULTANAN PAHANG







