MELAKA, 5 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat melawat bayi kembar tiga yang lahir menerusi rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), di Hospital Melaka.
Dua bayi kembar kepada Mejar Ir. Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Puan Sabrina Hakiem Zaini iaitu Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa ditempatkan di wad penjagaan biasa manakala Maryam Al Khawla kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana perlu menjalani pembedahan jantung.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda di Hospital Melaka pada pukul 9.45 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Ali bin Mohd Rustam serta isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah Binti Abdul Rahman.
Paduka Baginda kelihatan begitu ceria meluangkan masa kira-kira 45 minit bertemu ketiga-tiga bayi berkenaan yang merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar ibu bapa bayi kembar tiga ini agar menjaga anak-anak ini sendiri tanpa meletakkan mereka di bawah kawalan atau jagaan orang lain.
“Saya harap mereka jaga sendiri dan bersyukurlah Allah SWT kurniakan tiga anak sekaligus selepas diuji dengan kehilangan seorang anak sebelum ini,” titah baginda.
Paduka Baginda turut mendoakan agar ketiga-ketiga bayi ini membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang sepenuhnya.
Pada Januari lalu, Paduka Baginda selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF dengan penuh keprihatinan menawarkan rawatan IVF percuma kepada pasangan ini yang kematian anak akibat kecuaian pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka.
Tragedi berkenaan turut menarik perhatian dan simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan ini yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas berusaha dan menanti cahaya mata selama 13 tahun.
Untuk rekod, TAFF yang ditubuhkan atas inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lalu telah menaja 553 pasangan suami isteri seluruh negara yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahayamata.-KESULTANAN PAHANG







