RAUB 28 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat menyantuni dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di sini awal pagi Khamis lalu.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, bukan sahaja kehilangan ibu bapa tetapi tiga adik mereka turut terkorban.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan nasib dua beradik itu dengan menitahkan agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi membela nasib mereka terutama membabitkan penjagaan dan pendidikan.
Selain menitipkan nasihat dan kata-kata semangat, Paduka Baginda turut menyampaikan kurniaan peribadi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Paduka Baginda sendiri. – KESULTANAN PAHANG






