KUALA LUMPUR, 5 Disember 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Program Warna Warni Botani: Festival Fabrikasi yang diadakan di Taman Rimba Bukit Lagong di sini semalam.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 2.40 petang disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Seri Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Seri Isham Ishak dan Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, Dato’ Fully Chye Goet Lee.
Paduka Baginda selaku penaung PSJKM dipersembahkan dengan nyanyian khas sebelum berkenan menyempurnakan gimik perasmian dan menyampaikan anugerah, lencana, plak penghargaan dan sijil penyertaan kepada 22 orang peserta Orang Asli.
Sebelum keberangkatan pulang, Paduka Baginda kemudiannya berkenan melawat tapak pameran yang menyajikan keindahan flora tempatan serta bagaimana seni fabrikasi dan reka bentuk boleh dipadankan dengan unsure alam semulajadi menggunakan kaedah pewarnaan semulajadi (Natural Dye) dan mesra alam (Eco Printing).
Program Warna Warni Botani Festival Fabrikasi ini merupakan acara julung kali yang diadakan bagi mempromosikan kaedah Natural Dye dan Eco Printing iaitu satu teknik mengekstrak warna semulajadi dan memindahkan motif dari tumbuhan ke atas sehelai fabrik.
Festival ini juga dianjurkan dengan tujuan untuk menyebarkan kesedaran dan mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar. – KESULTANAN PAHANG