KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan majlis perasmian CIMB Minggu Seri-Ibu Kraf 2026 di Serai Hall, Kuala Lumpur Golf & Country Club Mall (KLGCC) hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku pada pukul 2.30 petang disambut Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar.
Sejurus ketibaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan melawat reruai yang dibahagikan kepada sembilan bahagian dengan persembahan pelbagai jenis hasil kraftangan artisanal dalam variasi medium termasuk tekstil, kayu, kaca, logam serta segenap jenis bahan lain, dilengkapi dengan fesyen raya yang berwarna-warni oleh bakat terkemuka dan meningkat naik dalam industri.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku kemudian turut berkenan menyaksikan persembahan tarian, nyanyian serta peragaan fesyen sebelum menyempurnakan majlis dengan menandatangani plak perasmian sebelum berangkat ke jamuan teh.
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB menyaksikan penyertaan lebih 30 butik fesyen dan kraf mempamerkan bakat kreatif dengan hasil rekaan terbaik dan paling berharga mereka yang dianggap sebagai karya agung atau masterpieces pada acara berkenaan.
CIMB juga bekerjasama dengan Sime Darby Property bagi menyokong Piala Seri-Ibu Kraf iaitu pertandingan yang mengetengahkan bakat-bakat terbaik dalam seni kraf bagi kategori-kategori seperti Tekstil, Tukang Logam (termasuk perak, gangsa dan tembaga) dan Bukan Logam (termasuk seramik, kaca, kayu dan tembikar).
Di samping itu, terdapat juga Anugerah Inovasi, Anugerah Pilihan Orang Ramai atau People’s Choice Award, dan Anugerah Khas Seri-Ibu yang akan dipilih sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang. -KESULTANAN PAHANG






