KUANTAN 24 Disember 2025 -Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli menziarahi pasangan suami isteri yang berjaya mendapatkan bayi kembar sepasang selepas menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) di rumah mereka di Pantai Sepat di sini hari ini.
Amru Khalid Sazali, 31, dan isteri, Afifah Syahirah Abdul Karim,30, yang berkahwin sejak tujuh tahun lalu amat bersyukur apabila terpilih untuk melakukan IVF bersama TAFF selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan cahayamata.
Bayi kembar mereka dilahirkan melalui pembedahan pada 21 Disember 2025 diberi nama Atiyyah Zahra (2.49 kilogram) dan Abdullah Zainy (2.15 kg).
Keberangkatan Paduka Baginda yang diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah cukup menceriakan pasangan itu kerana Paduka Baginda turut menitipkan nasihat dan tips penjagaan bayi serta ibu berpantang.
“Junjung Kasih Tuanku!! Dan terima kasih kepada semua pihak TAFF yang sangat membantu dan menyokong perjalanan rawatan kesuburan ini,” ucap Amru Khalid yang cukup terharu dan berterima kasih.
Anak kembar pasangan yang bertugas di Muzium Pahang ini merupakan bayi ke-148 dan 149 TAFF. – KESULTANAN PAHANG







