KUCHING 7 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat melancarkan pameran tekstil tradisional sempena Borneo International Textile Festival (BITF) 2025 di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba pada pukul 2 petang.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pameran yang berlangsung dari 7 Disember 2025 hingga 3 Mac 2026 itu menghimpunkan tekstil daripada sembilan institusi utama termasuk Yayasan Tenun Pahang Diraja, Persatuan Perintis Inovasi Songket dan Keringkam serta Yayasan Tun Jugah.
Menariknya, karya seni YAM Tengku Puteri Jihan turut dipamerkan sempena BITF 2025 yang turut melibatkan penyertaan artisan tradisional, pereka, bakat baharu dan pakar serantau dalam satu platform.- KESULTANAN PAHANG






