TEMERLOH, 25 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah
menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersimpati dan memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah, pelaksanaan projek Skim Tanah Rakyat (STR) khas untuk Orang Asli merupakan antara bukti komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib golongan tersebut.
“Kita tidak mahu ada pihak yang menyatakan mereka ditindas atau tidak diambil kira. Kita sentiasa memberi keutamaan, tetapi Orang Asli itu mestilah Orang Asli asal Pahang,” titah Paduka Baginda.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berharap pewartaan tanah-tanah rizab Orang Asli dapat terus dipercepatkan dan sekiranya berkesempatan, ia perlu ditambah selaras dengan keperluan semasa dan pertambahan penduduk.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Daerah Temerloh di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, hari ini.
Pada masa sama, Paduka Baginda turut menegaskan bahawa tanah rizab Melayu juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar kepentingan masyarakat Melayu terus terpelihara.
Paduka Baginda turut mengingatkan agar usaha mewartakan tanah rizab bagi tujuan pemuliharaan hidupan liar seperti harimau dan gajah dilaksanakan secara seimbang dengan kepentingan tanah rizab untuk orang Melayu.
“Saya harap perkara ini dapat dilaksanakan secara seimbang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






