TEMERLOH, 25 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan Pahang mencatat skor tertinggi dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025.
Paduka Baginda bertitah, pengiktirafan itu merupakan satu pujian kepada seluruh rakyat negeri ini serta Kerajaan Negeri yang berjaya mengharmonikan dan menegakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Pahang.
“Ini seharusnya menjadi satu kebanggaan kepada seluruh rakyat Pahang. Saya harap semangat harmoni dan perpaduan ini dapat diteruskan dan kekal buat selama-lamanya.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa semangat perpaduan merupakan satu aset dan khazanah negeri yang amat bernilai serta perlu terus dipupuk, termasuk dalam kalangan generasi akan datang.
“Seri perpaduan ini adalah satu aset khazanah kita. Bersama-samalah kita semua menerapi semangat perpaduan ini dan mendidik generasi-generasi akan datang supaya terus menghargainya,” titah Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Daerah Temerloh di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, hari ini.
Paduka Baginda berkenan menerima taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Encik Rizal Mustafa mengenai perancangan pembangunan dan pencapaian di daerah berkeluasan 2272 kilometer persegi ini. -KESULTANAN PAHANG






