ALAT KEBESARAN DIRAJA

Alat Kebesaran Diraja Negeri Pahang merupakan sekumpulan alatan yang menjadi lambang kekuasaan, kedaulatan serta keabsahan Sultan Pahang Darul Makmur. Alat-alat kebesaran ini digunakan dalam istiadat pertabalan seseorang sultan dan dalam istiadat rasmi yang lain.

1. Cogan Kerajaan dan Cogan Daun Kopi

Mengikut istiadat Raja-Raja Melayu dahulu termasuk di Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang cogan melambangkan kebesaran Raja. Ia dibawa oleh seorang pawai dan di sandar di bahu kanan dengan memakai tetampan di dalam istiadat-istiadat keberangkatan Raja Pemerintah ke Balairung Seri. Ia dibentuk menyerupai daun kopi dan berwarna emas, tertulis dengan tulisan Jawi perkataan “Ya Latif” dan “Negeri Pahang”.

2. Pedang Bentara Kiri dan Bentara Kanan

Pedang ini  dibawa oleh Bentara Kiri dan Bentara Kanan tanpa bersarung bagi berjalan di kiri kanan Raja Pemerintah atau Putera Mahkota yang mewakili Baginda dalam istiadat di Balairung Seri. Pedang ini ialah sebagai senjata kebesaran yang juga sebagai senjata kepada Pengawal Peribadi Baginda dalam istiadat Diraja.

3. Dua Pedang Kerajaan dan Dua Keris Kerajaan

Dua Pedang Kerajaan dan Keris Kerajaan ini adalah merupakan alat kebesaran Diraja yang disandang oleh pembawanya iaitu dua orang pawai yang memakai tetampan dalam istiadat-istiadat Diraja seperti Bersiram Tabal, Pertabalan dan istiadat keberangkatan Baginda Sultan atau wakil Baginda ke Balairung Seri.

4. Tombak Panjang dan Tombak Enam Belas

Tombak Enam Belas bersama Tombak Panjang merupakan alat kebesaran  Diraja yang mengiringi keberangkatan Baginda Sultan dalam istiadat di Balairung Seri atau istiadat-istiadat utama yang ditentukan seperti Bersiram dan Pemakaman bersama peralatan khusus yang lain. Setiap bilah tombak di sandang oleh jejawat di bahu kanan dengan memakai tetampan semasa berjalan atau dipegang secara menegak di masa berdiri dalam istiadat.

5. Keris Panjang Diraja

Keris Panjang Diraja yang berhulu, sampir dan sarung disalut dengan emas adalah tinggalan dari zaman silam bertarikh 4.1.1919 sebagaimana tertulis pada sarungnya persembahan Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai Wan Muhammad Orang Besar Berempat kawasan Jelai (dalam daerah Lipis). Ia dibawa oleh bentara atau pawai di sandang di bahu kanan dipegang pada sarungnya beralaskan wali. Ia digunakan dalam perarakan dalam istiadat tertentu dan juga dalam istiadat bersanding sama ada perkahwinan, santap nasi adap-adapan, pertabalan, bertindik dan berkhatan bagi putera puteri raja.

6. Payung Enam Belas

Alat kebesaran kerajaan melambangkan kebesaran, kewibawaan dan kedaulatan negeri. Payung 16 dibawa oleh 16 orang Jejawat Lelaki dalam Majlis Istiadat seperti Istiadat Pertabalan, Istiadat Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Pemakaman Raja Mangkat.

7. Payung Peribadi KDYMM Sultan Pahang

Lambang kebesaran dan kehormatan dalam adat-adat Raja Melayu. Cogannya berwarna emas. Ia digunakan semasa KDYMM Sultan Pahang di majlis rasmi luar istana seperti memeriksa barisan kehormatan (unit beruniform) atau melakukan lawatan dan menemui rakyat jelata dalam majlis rasmi.

8. Payung Peribadi KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang

Lambang kebesaran dan kehormatan dalam adat-adat Raja Melayu. Mengikut tradisinya berwarna kuning Diraja, bercogan berwarna emas. Digunakan semasa KDYTM Tengku Mahkota dan Tengku Puan Mahkota mencemar duli di majlis rasmi luar istana seperti melakukan lawatan rasmi dan menemui rakyat jelata.