KUANTAN 24 Januari 2026 -Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan pesanan buat anak-anak muda agar menghindari gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta bangkit menjadi generasi yang memutuskan rantaian kotor itu.
“Dengar dan ingat baik-baik wahai anak muda, rasuah itu bukan rezeki, ia najis. Penyalahgunaan kuasa itu bukan kebijaksanaan, ia racun. Kekayaan haram itu bukan kejayaan, ia kutukan yang menunggu waktu.
“Jangan wariskan kepada anak cucu, sebuah negara yang megah pada bangunan, tetapi busuk pada asas, jangan jadikan Malaysia sebuah tanah air, yang kaya di atas kertas, tetapi miskin dari segi maruah,” titah baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat ke program Wacana Belia Diraja 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa perbuatan rasuah bukan kesalahan kecil, sebaliknya pengkhianatan kepada negara.
“Maruah bangsa tidak diukur oleh ketinggian bangunan atau angka dalam akaun, tetapi nilai yang dipertahankan ketika berdepan dengan godaan kuasa dan wang.
“Banyak negara runtuh bukan kerana diserang musuh dari luar, tetapi dikhianati oleh perbuatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerakusan yang tidak dibendung.
“Ketahuilah rasuah bukan kesalahan kecil, penyalahgunaan kuasa bukan kelemahan manusia biasa, tetapi kejahatan berjawatan. Apabila undang-undang dipermainkan oleh mereka yang sepatutnya menegakkannya, maka negara sedang dipimpin ke jurang kehancuran.
“Hari ini, ada yang memakai seragam, memegang kuasa, dan membawa nama institusi, namun tangannya kotor dan hati mati. Mereka bukan sekadar merosakkan imej organisasi, malah mereka mencuri masa depan anak bangsa,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG






