TEMERLOH, 24 Februari 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menegaskan bahawa pembinaan mana-mana rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.
Paduka Baginda bertitah, membina rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.
“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera di sini hari ini.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah, mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah Paduka Baginda dan turut menegaskan bahawa Negeri Pahang memerlukan ketertiban dan bukan tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur serta memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.
Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri. -KESULTANAN PAHANG






