KUANTAN, 15 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya kawasan perumahan baharu di Bandar Baru Karak yang dibangunkan selepas kejadian kebakaran besar pada tahun 2021 dapat diselaraskan.
Paduka Baginda bertitah, penyelarasan dari segi pemandangan dan perancangan perlu dilakukan bagi mewujudkan suasana yang harmoni serta tidak menampakkan jurang ketara antara rumah baharu dan kediaman lama di sekitarnya.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat meninjau perumahan baharu yang telah siap dibina untuk 48 buah keluarga mangsa kebakaran yang terlibat.
“Saya tidak mahu wujud dua kelas dalam satu kawasan. Rumah baharu nampak elok dan tersusun, tetapi sekelilingnya rumah lama yang uzur. Jika boleh, perlu ada perancangan untuk membaiki, mencantikkan dan melengkapkan rumah sedia ada supaya keseluruhan kawasan ini kelihatan seragam dan harmoni,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan, khususnya para penyumbang dan pembiaya utama yang telah membiayai keseluruhan kos pembinaan.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak, khususnya para penerima rumah baharu ini. Kos pembinaan yang dimaklumkan kepada saya adalah sekitar RM125,000 seunit, yang pada hemat saya adalah sederhana dan sangat baik berdasarkan gambaran yang dipersembahkan,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian geran pajakan selama 60 tahun bagi projek tersebut, sekali gus memberi kehidupan selesa yang lebih terjamin kepada para penerima.
Menyentuh aspek keselamatan, Paduka Baginda mengingatkan agar pengalaman pahit kebakaran yang pernah berlaku sebelum ini dijadikan pengajaran dengan memastikan semua aspek keselamatan dipertingkatkan, khususnya bagi bangunan dan rumah lama yang masih menggunakan bumbung zink usang serta struktur yang berisiko.
“Saya tidak mahu kebakaran seperti dahulu berulang kembali. Setiap rumah mesti ada pemadam api, yang merah itu. Walaupun nampak kecil, itulah yang kita perlukan ketika kecemasan. Perkara ini jika boleh, diwajibkan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menyarankan supaya pili bomba ditambah di beberapa lokasi strategik di sekitar kawasan berkenaan serta menggesa penduduk bekerjasama rapat dengan pihak bomba untuk mendapatkan nasihat dan panduan keselamatan yang sewajarnya.
Selain itu Paduka, Baginda berharap agar pasukan bomba sukarela dapat diwujudkan atau diperkasakan di kawasan tersebut, lengkap dengan peralatan yang diperlukan, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat atas keprihatinan serta sumbangan mereka dalam membantu mangsa mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan selamat. -KESULTANAN PAHANG








